nuffnang

Thursday 23 October 2014

Cara untuk Khusyuk dalam Solat


MENGAPA SUKAR MERASAKAN KHUSYUK?


Bagi yang merasa sukar untuk solat dengan khusyuk, dan merasa bahawa Allah berada di satu tempat yang sangat jauh dan sukar untuk dihubungi, ketahuilah bahawasanya yang jauh itu bukan Allah tetapi hati kita yang sudah dihinggap penyakit cintakan dunia. Allah SWT berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), “Aku itu dekat”. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

(Al-Baqarah: 186)

Untuk dapat merasakan Allah itu dekat, syaratnya ialah mestilah orang itu beriman dengan sebenar-benarnya, yakni percaya dengan sepenuh keyakinan terhadap kewujudan dan keagungan Allah SWT. Jika imannya telah lemah kerana sudah dibahagikan sebahagian besar hatinya kepada cinta dunia, mustahil ia akan dapat merasakan kedekatan Allah.

Ketahuilah bahawasanya jasad hanyalah satu kepompong yang kita diami di dunia ini dan akan kita tinggalkan apabila kita berpindah ke alam barzakh kelak. Jasad umpama sebuah kereta yang kita sedang pandu, apabila tiba ke destinasi yang dituju, kita akan keluar dari kereta itu. Maka fahamilah hakikat bahawa solat kita bukan sekadar fizikal jasad tetapi ruh kita yang berasal dari-Nya, yang rindu untuk bertemu dengan-Nya. Solat yang tidak diringi dengan ruh adalah umpama solat si mayat kerana hanya jasad sahaja yang bersolat.

Bagi mereka yang telah dihadiahkan dengan keilmuan dan kefahaman mengenai persoalan ruh, solatnya akan menjadi sumber kebahagiaan hakiki yang tiada bandingnya dengan segala kemewahan dunia dan segenap isinya.

Allah SWT berfirman:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” (Al-Baqarah: 45-46)

 6 CARA MUDAH MERAIH KHUSYUK

1. Menghormati dan menyahut panggilan azan dengan menyegerakan solat pada waktunya;

2. Menyempurnakan wudhuk pada zahir dan batin dan menyakini bahawa wudhuk itu dapat membersihkan dosa-dosa kecil;

3. Menyakini akan penghadapan kepada Allah dan menjaga segala pantang larang dan adab ketika menghadapNya;

4. Diam sejenak ketika rukuk dan sujud supaya dapat merasakan kenikmatan rukuk dan sujud itu sebelum menuturkan bacaan yang harus dibaca serta merehatkan fikiran dan memahami pengertian solat pada setiap rukunnya. Hayatilah perbualan spiritual dua hala di antara hamba dengan Allah di dalam surah Al-Fatihah;

5. Segera bertaubat dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar mahupun dosa-dosa kecil yang kerap dilakukan sehingga mengakibatkan hati menjadi hitam dan menghalang sampainya nur hidayah Allah. Hati pula menjadi keras kerana telah menyerahkan diri kepada nafsu dan godaan syaitan. Seandainya dalam keadaan berdosa, ketahuilah bahawa rahmat Allah itu luas. Serahlah diri dan sambutlah pengampunan-Nya;

6. Merasakan IHSAN
“Apakah itu Ihsan?

Baginda menjawab: Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Wa Allah hu alam...

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen anda..Terima kasih =)